Rabu, 2009 Disember 23
lanailestari: catatan ringkas ziarah kampung perdamaian sukhirin
LANAI LESTARI: CATATAN RINGKAS ZIARAH KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN
di petik dari lanailestari.blogspot.com Tuesday, December 22, 2009
Apabila Sdr AmirRuslan mengajak saya untuk ikut serta kembara ke Selatan Thailand bagi menziarahi Kg.Perdamaian disana,tanpa bertangguh saya menyatakan persetujuan saya.Sebenarnya sudah lama saya merancang untuk kesana,cuti sekolah bulan Mac sepatutnya saya ke sana tetapi oleh kerana orang tua uzur,maka terpaksa di tangguhkan.Manakala bulan Jun,pihak penanggungjawab terpaksa meminta saya membuat jadual semula memandangkan terlalu ramai rombongan kesana.
Memang saya berkeinginan besar ke sana,mungkin darah Pahang/Temerloh yang mengalir disegenap urat nadi saya menggamit untuk melihat sendiri dengan mata dan mata batin 'para pengganas komunis' ini seperti laungan perang saraf sejak lebih 50 tahun (dan masih berterusan).Juga tentunya sebagai peminat sejarah saya perlu membuat sedikit 'research' sekurang-kurangnya untuk manfaat diri sendiri dan jika boleh,meluruskan persepsi sejarah yang songsang dek kerana propaganda setengah abad.
Dan rombongan kami turut disertai oleh Sdr.Mat Sabu,pemimpin dan pejuang PAS yang saya kira,begitu progresif.
Berikut adalah catatan ringkas perjalanan kami.Cerita dan catatan terperinci akan disiarkan kemudian:
13.12.2009
Menjelang jam 9 pagi kami sudah berkumpul di rumah tol Paya Keladan Temerloh.Dari 5 buah kenderaan 4x4 hanya 3 buah sahaja yang jadi pergi.Saya mengingatkan teman-teman agar membuat pemeriksaan terakhir semua dokumen berkaitan-passport dan juga dokumen kenderaan.
Dari Temerloh kami bergerak ke Kuala Lumpur untuk mengambil Abang Mat dan Sdr Ali Maideen di Pejabat Agung PAS.Abang Mat menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.
Selesai solat zuhur di Masjid Kg.Baru kami bertolak ke Bentong kira-kira jam 2.30 petang.Dari Bentong kenderaan meluru hala ke Kuala Lipis untuk mengambil laluan Merapoh-Gua Musang ke Kota Bahru.
Kami sampai di Kota Bharu sekitar jam 10 malam dan bermalam di Sutera Inn Hotel KB.
14.12.2009
Selesai sarapan pagi kami meneruskan perjalanan ke sempadan melalui pekan Rantau Panjang.Segala urusan insurans kenderaan ke Thailand diselesaikan terlebih dahulu.
Urusan dengan pihak imigresen Malaysia dan Thailand berjalan lancar.Kami diarahkan untuk menyediakan dokumen kenderaan di booth kastam Thai dan disini masalah timbul.Kesemua dokumen lain lengkap tetapi pihak kastam meminta salinan pendaftaran perniagaan bagi kenderaan syarikat.Malangnya dokumen tersebut tidak dibawa sekali.
Akibatnya kenderaan terpaksa ditinggalkan di Pekan Golok dan dengan bantuan Pak Yaakob sebuah bas (van) pelancong di sewa dengan harga 1500 baht.
(Foto)Bersama orang kanan Abdullah CD,
Pak Yaakob yang menanti kami di Pekan Golok.
Perjalanan dari Pekan Golok ke Kampung Perdamaian memakan masa lebihkurang 2 jam.Sepanjang perjalanan terdapat berbelas check point tentera Thailand;kubu karung pasir dibina di lokasi tertentu dan kelihatan senjata berat berupa machine gun diletakkan bersekali.Malah Pekan Golok turut dipenuhi askar bersenjata lengkap meronda setiap lorong.
Kami makan tengahari di sebuah warung selepas pekan Sukhirin,perjalanan diteruskan memasuki jalan kampung.Jalan ke Kampung Perdamaian bertar tetapi tidak sudah banyak yang rosak dan jika hujan lebat hanya kenderaan 4X4 sahaja yang boleh melaluinya.
(Foto)Jalan menuju ke Kampung. Kehijauan
dan udara segar begitu membuaikan.
Kami sampai ke destinasi kira-kira jam 3 petang waktu Malaysia dan di tunjukkan Rumah Tetamu yang menjadi tempat 'landing'.Saya terus menuju ke Masjid berhampiran yang dimana kelihatan 2-3 orang sedang bersembang.
(Foto) Comrade-at-arm, Pak Hassan dan Pak Awang. Mereka anak Semantan yang mempertaruhkan jiwa demi kepercayaan terhadap perjuangan.
Kami bersalaman dan daripada ulas butir percakapan yang keluar dari mulut,terus saya mengesani kedua Bapa ini orang Temerloh.Telahan saya ternyata tepat.Kedua mereka-Pak Hassan Hj Salleh dan Pak Awang Yaakob,masing-masing berasal dari Kampung Sungai Buluh Mentakab dan Kampung Tualang Temerloh-ternyata sangat gembira dengan kedatangan kami.
(Foto) Resepsi minum petang di rumah Abdullah CD meraikan kami.Saya menerima naskah buku tulisan beliau.
Kemudiannya kami diraikan oleh Pak Abdullah CD dan keluarga beliau di rumahnya.Sambil menikmati minum petang,sempat mendengar cerita dan nasihat daripada Pengerusi Partai Komunis Malaya disamping tentunya,mengambil kesempatan berfoto dengan beliau dan Ibu Suriani.Pak Abdullah CD nampak ceria menyambut kedatangan kami;tentunya Sdr Mat Sabu diberikan tumpuan berikutan kenyataan beliau bahawa patut berterimakasih kepada Chin Peng dan rakan-rakan/PKM kerana berjaya membunuh Henry Gurney.
(F0to) Pak Abdullah CD, Sdr.Mat Sabu dan Abang Aziz Kuantan
Pak Abdullah CD nampak masih sihat dan 'alert',cuma angkara terkena racun yang menyebabkan beliau agak sukar untuk melontarkan buah fikirannya.Manakala Ibu Suriani kelihatan fragile dan uzur.Seorang teman dari Temerloh membisikkan kepada saya tanggapan didalam mindanya Abdullah CD seorang yang nampak cengel (bengis) dan kasar,maklumlah menjadi ketua kepada 'Pengganas Komunis',tetapi apabila berjumpa ternyata beliau seorang yang lemah lembut tutur bahasanya dan 'very friendly',tidak sebagaimana didalam imaginasi teman ini.Saya ketawa besar.
(Foto)Pasangan revolusioner, Ibu Suriani dan Pak Abdullah CD
Kami dihadiahkan dengan buku-buku tulisan Pak Abdullah CD dan bagi pihak rombongan,Sdr Mat Sabu pula menghadiahkan beberapa naskah tafsir al-Quran.
(Foto)Rombongan dari Temerloh berfoto kenang-kenangan bersama Ibu Suriani dan Pak Abdullah CD.
Sempat juga berbual panjang dengan Pak Hassan dan Pak Awang (entri berikutnya akan dipaparkan) sebelum kami ziarah ke perkuburan kampung.Sememangnya menjadi agenda saya sejak dari mula untuk ziarah pusara Pak Kamaruzaman Teh yang disemadikan disana.
(Foto) Sedekah al-Fatihah di Pusara Kamaruzaman Teh dan buat mereka yang telah mendahului kita di Tanah Perkuburan Kg.Perdamaian.Ketika itu hujan rintik-rintik membasahi bumi yang menimbulkan kesyahduan tersendiri.
Sekembali dari perkuburan saya mengajak Pak Hassan menemani saya untuk berjalan berkeliling kampung sambil berta'aruf dengan penduduk.Saya diajak kerumah Mak We Mariam @ Atom (Siti Mariam binti Idris),berasal dari Lubuk Kawah,Temerloh,kakak sepupu kepada Tuan Haji Suhaimi Said,Pengerusi Cabang KEADILAN Kuala Krau dan pejuang rakyat tersohor.
(Foto) Perempuan Revolusioner Sejati, Siti Mariam Idris @ Atom.Puteri Sungai Pahang yang bersemangat waja
Sambutan yang diberikan sungguh mengharukan.Mak We atau Wan Mariam memeluk saya apabila diketahui saya dari Temerloh dan rapat dengan Haji Suhaimi Said.Kami berbual panjang dan kemudian sama-sama menapak menuju ke tempat makan malam.
(Foto) Menikmati juadah makan malam bersama Pak Abdullah CD.Udara pergunungan yang segar benar-benar membuka selera kami
Makan malam diraikan oleh Pak Abdullah CD sendiri dengan hidangan yang cukup menyelerakan.Mungkin udara pergunungan yang segar dan dingin membangkitkan selera masing-masing makan dengan lahapnya.
(Foto) Sebahagian dari artifaks yang di pamerkan di Muzium,senjatapi iaitu bren-gun yang dirampas semasa pertempuran di Jalan Chenor Lama,senapang dan meriam katak buatan sendiri.Juga dipamerkan beberapa penerbitan Parti seperti pamflet (foto kanan)
Sempat juga berkunjung ke Muzium Sejarah Rejimen Ke-10 sesudah makan malam dan selepas itu diikuti dengan tayangan video sejarah jatuh bangun perjuangan Rejimen Ke-10 sehinggalah Perjanjian Damai di meterai.
(Foto) Pak Awang B.Ismail @ Shukor, anak kelahiran Kampung Berhala Gantang sedang menceritakan sejarah perjuangan beliau dan teman-teman yang bermula dari API.Beliau menjadi ketua kompeni Rejimen Ke-10 sehinggalah Perjanjian Damai dimeterai.Abang Mat Sabu khusyuk mendengar pengkisahan beliau.
Sementara teman-teman lain berbual dan mendengar pengkisahan dari bekas anggota Rejimen Ke-10,saya dan Sdr Mat Sabu pula mendapat peluang untuk 'private audience' dengan Pak Abdullah CD di rumah beliau.Kami mendengar penjelasan dan pandangan beliau disamping berkesempatan bertukar-tukar fikiran diatas beberapa isu mutakhir serta pengalaman silam beliau.
(Foto) Pak Abdullah CD sedang berwejang. Saya dan Mat Sabu berkesempatan bertukarfikiran dengan beliau.Selain membicarakan sejarah silam,beliau rupa-rupanya tetap mengikuti perkembangan politik tanahair.Saya mengesani hormat besar beliau kepada Almarhum Dr.Burhanudin al-Helmy.Pengamatan beliau masih tajam.
Saya bertanya kepada Pak Abdullah CD,sekiranya Setiausaha Agung PKM,Lai Teck tidak khianat selepas Jepun kalah dan kemerdekaan di istiharkan (perancangannya bersekali dengan Indonesia),siapakah yang akan menjadi Kepala Negara (Perdana Menteri) ketika itu?Jawaban yang di berikan ialah samaada Ibrahim Hj Yakob ataupun Dr.Burhanudin al-Helmy yang akan menjadi pemimpin negara (entri berikutnya akan dicatatkan tentang perbualan kami dengan Pak Abdullah CD).
Hampir jam 1 dinihari waktu Malaysia, barulah kami berpamitan dari rumah Pak Abdullah CD. Kembali ke Rumah Tetamu,teman-teman lain sudah diulit mimpi dan bunyi dengkuran masing-masing begitu gegak gempita bersahut-sahutan.Secara bergurau saya memberitahu Abang Mat Sabu,tidak ada seorang pun dari kalangan ahli rombongan boleh menjadi pejuang gerila kerana dengan bunyi dengkuran yang bermacam ragam,tentu mudah di kesan musuh.Kami ketawa besar.
(Foto) Wan Mariam @ Atom berpotret bersama 'cucu' barunya, Didie @ Natrah.
(Foto) Tiga sahabat seperjuangan. Ketiga-tiga mereka berasal dari Temerloh.Pak Awang Idris terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak setelah terkena sakit lumpuh namun semangat juang di dadanya tetap membara.Kelihatan juga Pak Hassan Hj Salleh dan sahabat mereka yang saya terlupa namanya.
15.12.2009
Seusai solat subuh berjemaah saya menahan diri dari berguling diatas katil. Pagi yang dingin dengan udara pergunungan yang segar,kicau burung serta deru air sungai yang mengalir bagai menggamit saya untuk tidak kembali tidur.Saya ingin menikmati alam yang indah ini serta ingin menyelami kehidupan para pejuang di kampung yang permai ini.
(Foto) Kak Yatie,isteri Sdr AmirRuslan sedang menikmati sarapan pagi bersama Wan Siti Mariam
Sarapan pagi menyelerakan.Saya makan nasi kerabu bersama teman-teman dan Pak Hassan.Wan Mariam turut serta setelah beliau beriadah dengan berjalan 1000 langkah setiap pagi.Pak Abdullah CD turut mempunyai rutin yang sama,iaitu morning walk,sekeliling kampung sambil mengambil kesempatan bertanyakan khabar anak buahnya.Walaupun sudah menggunakan tongkat namun langkah beliau masih tegap.
(Foto) Morning walk. Sudah menjadi rutin Abdullah CD dan Ibu Suriani untuk berjalan kaki,riadhah setiap pagi disekeliling kampung.
Selesai sarapan saya mengajak teman-teman untuk mengziarah rumah Ibu Norkiah Mahmood Baginda,balu kepada Allahyarham Abu Samah Mohd Kasim,putera Lancang.Ibu Norkiah nampak lemah dan 'fragile'.Menurut beliau kesihatannya merudum setelah suami tercinta,Abu Samah (orang Lancang memanggil dengan gelaran Pak Lang Samah),meninggal dunia.Ibu Norkiah juga sedang menjalani rawatan mata di Kuala Lumpur.
(Foto) Ibu Norkiah Mahmood Baginda, balu kepada Allahyarham Pak Lang Abu Samah
(Foto) Perempuan Revolusioner Sejati
Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat tinggal/pamitan daripada Pak Abdullah CD sekeluarga sebelum kami berlepas pulang.
(Foto) Saya berpamitan dengan Ibu Suriani dan Pak Abdullah CD.
Perjalanan dari Temerloh ke Kampung Perdamaian mengambil masa kuranglebih 9-10 jam sahaja;manakala Long March Rejimen Ke-10 dalam tahun 1953 dari basis Temerloh ke Thailand mengambil jangkawaktu Satu Tahun Empat Bulan lamanya.
Bagi pihak teman-teman dari Temerloh kami menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada Pak Yaakob dan rakan-rakan beliau yang melayan kami dengan mesra malah seperti keluarga sendiri.InsyaAllah kami akan bertandang lagi.
Post scriptum:
Saya menerima banyak sms,panggilan,emel dan komen dari teman-teman,kebanyakkannya bertanyakan saya bila lagi akan dianjurkan xpdc ziarah sebegini.Saya menjelaskan bahawa memang ada hajat dan perancangan untuk kembali sekali lagi ke Kampung Perdamaian ini pada tahun hadapan.Tarikhnya akan ditentukan kemudian.
Saya turut mengesani kecenderungan teman-teman anak muda yang begitu ghairah bertanyakan saya tentang xpdc dan sejarah perjuangan Rejimen Ke-10 TRM ketimbang sejarah perjuangan kemerdekaan dan nasionalisme Melayu.Sementara saya mengakui bahawa saya bukanlah orang yang berautoriti untuk menjelaskan namun berdasarkan pembacaan, pengamatan dan pandangan saya maka saya berwejang juga.
Trend ini kepada saya cukup membanggakan dan konstruktif sekali.Kelihatannya mereka-anak-anak muda- tidak lagi cenderung untuk menerima sejarah dan tafsirannya seadanya seperti tercatat di dalam buku teks sekolah dan seperti yang dipaksakan oleh UMNO.Apabila anak muda mula membuka mata dan minda untuk menyerap,menilai dan memahami,saya cukup yakin mitos dan propaganda UMNO/BN sejak sekian lama tidak lagi berkesan.Anak-anak muda tentunya perlu berfikiran kritis dan punya keberanian merungkai kepalsuan.
Apabila saya bercerita (dan bagi yang membaca blog ini) tentang masjid,ramai yang terkejut!Dakyah songsang UMNO selama ini melakarkan anggota Rejimen Ke-10 sebagai atheist dan pembenci agama telah berkecai.Dari sudut ini ada kepuasan di jiwa saya kerana sekurang-kurangnya saya berjaya membuka mata khalayak dan sekali gus membetulkan persepsi.
Manakala teman-teman yang menganjurkan untuk di buat kutipan dana bagi menyumbang membaiki masjid tersebut,saya begitu menghargainya dan akan berbincang dengan teman-teman di Kampung Perdamaian.Pada asasnya Sdr Mat Sabu telah bersetuju untuk kita memikirkan mencari dana sebagai sumbangan menyiapkan masjid.Kepada mereka yang ingin menyumbang terus,saya sarankan untuk berhubung dengan pengendali blog KINI DAN SILAM (http://matamin02.blogspot.com/) bagi menguruskannya.
Dan kepada mereka yang leceh mindanya,maaf komen-komen anda tidak akan saya siarkan.Saya bersedia untuk berhujjah dengan anda atau sesiapa sahaja berkaitan Rejimen Ke-10 atau tentang gerakan kemerdekaan Tanahair secara berhemah dan bijaksana.Menggunakan bahasa-bahasa kesat dan biadap,saya tidak dapat berkompromi.Hakikat yang perlu kita sedari bahawa para anggota/pejuang Rejimen Ke-10 adalah sebahagian dari mata rantai sejarah yang tidak boleh di nafikan peranan dan sumbangan mereka.
*Sebahagian daripada foto yang dipaparkan adalah dengan ihsan Sdr.Fadzil Baharum,AJK Dewan Pemuda PAS Kedah yang turut sama menyertai rombongan.Terima kasih kepada beliau.Juga frasa Perempuan Revolusioner Sejati saya 'pinjam' dari senikata lagu Sdr.Meor dari album Dari Rakyat Untuk Rakyat.Frasa tersebut ditujukan oleh Sdr.Meor bagi menggambarkan kekagumannya kepada Allahyarham Shamsiah Fakeh.
Dicatat oleh Mat Amin pada 15:51
Label: Kampung Perdamian, perjuangan kemerdekaan, Rejimen Ke-10 TRM
1 ulasan:
No comments:
Post a Comment
mana perginya ahli-ahli politik melayu islam samada dari umno,pas atau pkr?hanya melihat dan berpeluk tubuh sahaja?ini bukan isu poitik ini isu agam.aku pun jahil juga tapi rasanya tak sampai sehingga agama diperkotak katikkan.